MyKad

MyKad merupakan sekeping kad pengenalan pintar yang digunakan di Malaysia. Bersama-sama dengan pasport, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang menggunakan kad pengenalan dan pasport yang menggabungkan teknologi cip dan biometrik terkini untuk meningkatkan keselamatan dan kesahihan pemiliknya. Kad ini telah dilancarkan secara rasminya pada September 2001.

Contoh MyKad (muka hadapan) yang diterbitkan oleh JPN.

Perkataan ‘MyKad’ mempunyai maksud yang tersendiri. Perkataan ‘My’ bererti Malaysia dan juga kata ganti nama kepunyaanku dalam bahasa Inggeris. Perkataan ‘Kad’ pula boleh bermaksud kad ataupun singkatan kepada ‘Kad Akuan Diri’.

Fungsi utama kad ini ialah sebagai kad pengenalan diri. Ia mengandungi nama, alamat, gambar, nombor kad pengenalan, jantina dan agama yang terpapar di luar kad. Dulunya digelar Kad Pintar Pelbagaiguna Kerajaan (KPPK), kad ini mempunyai satu cip mikropemproses dan ingatan EEPROM 32k / 64k / 80k yang berupaya menyimpan pelbagai data dan aplikasi di dalamnya. Contohnya adalah maklumat biometrik (cap jari / imbasan iris), lesen memandu, PKI, duit MEPS, Touch 'n Go, kad ATM, maklumat kesihatan, Kad diskaun serta maklumat pasport.

Projek MyKad ini diuruskan oleh lima agensi kerajaan, semuanya mempunyai kemudahan mencapai maklumat dalam kad tersebut:

  • Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) - jabatan utama
  • Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  • Kementerian Kesihatan
  • Jabatan Imigresen

MyKad adalah wajib untuk semua warganegara bermula umur 12 tahun. Di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (pindaan 2001), sesiapa yang gagal menunjukkan kadnya apabila diminta boleh dipenjara sehingga 3 tahun atau didenda antara RM 3,000 dan RM 20,000 atau kedua-duanya sekali. Kad ini harus diperbaharui pada umur 18 tahun.


Developed by StudentB